Asal dan sejarah Aksara_Pantas

George Bernard Shaw, seorang penulis, pengkritik, dan penulis drama, sangat lantang mengkritik sistem ejaan Inggeris kerana tidak mempunyai padanan yang secocok mewakili fonem bahasa Inggeris dengan tepat. Hasilnya, sudah bertahun-tahun beliau menulis karya sasteranya menggunakan Trengkas Pitman. Walau bagaimanapun, beliau mendapati trengkas tersebut mempunyai had-had yang juga mengecewakan dan menyedari bahawa ia bukan pengganti sesuai untuk aksara Latin, kerana sukar digunakan untuk menghasilkan bahan cetakan dan mustahil untuk ditaip. Trengkas adalah, menurut definisi, lebih khusus daripada alfabet, yang mewakili bentuk tulisan piawai sesuatu bahasa. Shaw teringin akan penyusunan semula bahasa Inggeris bertulis yang fonetik dan menganjurkannya sepenuh hati, maka perlulah aksara baharu diciptakan.[3]

Untuk menyatawikan perkara itu, Shaw meletakkan dalam wasiatnya peruntukan yang memerintahkan pelaksananya untuk mengaturkan pertandingan sejagat untuk mereka aksara yang lebih baik untuk bahasa Inggeris. Seorang pereka dari Britain, Ronald Kingsley Read, yang telah banyak berkomunikasi dengan Shaw selama beberapa tahun mengenai aksara tersebut, dipilih bersama dengan tiga peserta akhir lain sebagai pemenang pertandingan tersebut.[4] Read telah dipilih untuk merekabentuk rupabentuk muktamad aksara tersebut. "Aksara Shaw", atau "aksara Syawi", seperti yang kini dikenali umum, ialah hasilnya.

Untuk mengadakan ujian lapangan terhadap aksara baharu tersebut, Read mengaturkan fasa pengujian awam yang lama untuk aksara Syawi yang melibatkan kira-kira 500 pengguna dari seluruh dunia yang menutur pelbagai dialek bahasa Inggeris. Setelah beliau menganalisis hasil ujian tersebut, Read memutuskan untuk menyemak semula aksara Syawi untuk memasukkan sejumlah perubahan untuk memperbaiki aksara tersebut dan membuatnya lebih mudah dan cepat untuk ditulis. Dia memanggil aksara yang disemak semula itu sebagai "aksara Pantas" (Quikscript). Pada tahun 1966, dia menerbitkan buku panduan aksara Pantas yang menjelaskan alasan kewujudan aksara tersebut, dan secara ringkas membincangkan pelbagai kemungkinan kaedah pembaharuan aksara. Bahagian utama panduan ini memberikan arahan yang komprehensif mengenai penggunaan aksara tersebut bersama dengan contoh bahan bacaan.